Teks Forum Daerah. (Tempat ke-3)


Pengerusi: Bismillahhirrahmanirrahim, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, dapatlah kita bersama-sama dalam Pertandingan Forum Remaja bagi sesi 2013.
Assalamualaikum, salam sejahtera, salam ukhwah dan salam 1 Malaysia. Saya, Nabilla selaku pengerusi majlis anda pada hari ini, akan membawa anda dalam perbincangan dengan ketiga-tiga orang ahli panel kita pada hari ini dengan tajuk yang amat menarik untuk kita bincangkan sebentar sahaja lagi.

Kata orang, tak kenal maka tak cinta, Jadi apa kata kita berkenal-kenal dahulu dengan ahli panel kita yang comel-comel belaka.

Dimulakan dengan pertama, sebelah kanan saya, saudari Izyan. Apa khabar saudari?

Seterusnya, kita berkenal pula dengan ahli panel kedua, saudari Hafiffah. Selamat datang saudari.

Dan dihujung sana, nampak pemalu tetapi bijak berkata-kata, saudari Hafizah. Apa khabar saudari?

"Aiman berkata Aiman tak kisah,
Mawi berkata Aduh Saleha,
Kami membawa maulud bicara,
Yang berbunyi PENGGUNAAN LAMAN SOSIAL DALAM MASYARAKAT KITA"

Pada masa ini penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia. Laman sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya, mendapat perhatian masyarakat di negara ini. Terdapat sesetengah anggota masyarakat di Malaysia yang telah menjadikan penggunaan laman sosial di Internet sebagaia medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Baiklah, sebelum saya menyimpang lebih jauh, saya mempersilakan ahli panel pertama kita iaitu saudari Izyan untuk memberikan definisi forum kita pada hari ini.

Izyan: Terima kasih saya ucapkan kepada saudari pengerusi. Baiklah, laman sosial boleh ditakrifkan sebagai satu pengantara maya untuk menjalinkan komunikai sesama manusia secara global yang dikuasakan dengan teknologi internet dan mutimedia.

Pembangunan telekomunikasi marcapada ini lebih menjurus kepada telekomunikasi tanpa wayar seperti teknologi wifi dan jalur lebar serta teknologi telekomunikasi 3.5G yang memacu perkembangan dalam langganan dan penggunaan laman sosial. Malahan, dengan perkembangan telefon mudah alih pintar atau perkakas komputer mini, gajet ini telah membuka dimensi baharu yang menawakan lebih fleksibiliti kepada pengguna untuk mengekalkan perhubungan tanpa halangan masa atau tempat.

Antara perkhidmatan rangkaian sosial yang popular pada masa kini ialah Myspace, Bebo, Facebook dan Friendster. Berbalik kepada saudari pengerusi.

Pengerusi: Terima kasih saudari Izyan. Saya ingin mengajukan soalan saya yang kedua kepada ahli panel kedua kita. Seperti yang telah dijelaskan oleh saudari Izyan tadi, pastinya ramai yang ingin mengetahui apakah kebaikan laman sosial kepada pengguna. Bolehkah saudari Hafiffah menerangkan perkara ini dengan lebih lanjut?

Hafiffah: Terima kasih saudari pengerusi. Hadirin, sebenarnya, laman sosial mampu meningkatkan ekonomi negara. Hal ini dapat dilihat apabila laman sosial digunakan untuk menjalankan perniagaan secara online. Urus niaga melalui e-dagang ini semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat kerana dapat menjimatkan masa disamping harga yang ditawarkan lebih murah daripada belian secara terus.

Malahan, laman sosial juga dapat meningkatkan interaksi antara pemimpin dengan rakyat. Rakyat dapat berhubung dengan pemimpin secara langsung. Segala hal ehwal atau masalah dalam kalangan rakyat dapat disampakan terus di akaun pemimpin. Hal ini dapat mengurangkan kerenah birokrasi yang terpaksa dihadapi oleh rakyat pada masa dahulu. Kembali semula kepada saudari pengerusi.

Pengerusi: Terima kasih saudari Hafiffah. Tadi saudari Hafiffah ada menyatakan bahawa terdapat pelbagai kebaikan laman sosial kepada masyarakat. Jadi bolehkah saudari Hafizah menerangkan keburukan laman sosial yang boleh memberi impak negatif kepada masyarakat.

Hafizah: Terima kasih saudari pengerusi. Kita dapat menyaksikan betapa ramainya penduduk di dunia ini yang telah ditipu oleh penyebaran maklumat palsu. Memang tidak dinafkan bahawa kemunculan laman sosial menyebarkan informasi palsu. Contohnya seperti skim cepat kaya, perniagaan palsu atas talian dan info yang tidak diketahui kesahihannya.

Laman sosial juga merupakan sasaran utama masyarakat untuk mencari sumber hiburan. Aspek hiburan melampau merupakan keburukan penggunaan laman sosial. Youtube merupakan laman sosial yang membekalkan sumber hiburan terkini. Unsur negatif yang terkandung dalam video akan menular dalam pemikiran remaja. Seterusnya melahirkan masyarakat yang lalai untuk melakukan sesuatu tugasan. Saya kembalikan semula kepada saudari pengerusi.

Pengerusi: Terima kasih saudari Hafizah. Baiklah, kita sudah pun jelas tentang penggunaan laman sosial pada masa ini. Kebaikannya ialah meningkatkan ekonomi negara dan dapat meningkatkan interaksi pemimpin dengan rakyat. Manakala, penyebaran maklumat palsu dan aspek hiburan melampau memberi impak yang negatif kepada pengguna. Dek kerana kesuntukan masa, sekian Assalamu'alaykum w.b.t.





POST SCRIPT: Teks ini telah dipendekkan yang mana beberapa ayat yang telah saya biarkan tergantung atau tak lengkap. Cukuplah sekadar memberi idea apa yang telah kami perkatakan tempoh hari di Kolej Tunku Kurshiah untuk Pertandingan Forum peringkat daerah. Kami berjaya mendapat ketiga daripada 20 buah sekolah yang menyertai. Walaupun baru pertama kali menyertainya, nampaknya rezeki menyebelahi kami.